Saturday, September 11, 2004

Kelantan Dikenang

Assalamualaikum warahmatullah,

Agak lama saya tidak menulis kerana sebab-sebab tertentu yang menghalang, namun kerana minat untuk menulis agak tebal walaupun bermusim, saya teruskan di Area Hijau ini.Menjadi tetamu kepada tuan punya blogger membuatkan saya lebih bersungguh untuk menulis.

Bukan kerana sifat 'Kelantan'gan yang menebal membuatkan saya bercerita tentang Kelantan, tetapi kerana Kelantan merupakan negeri yang unik dan maju kehadapan.

Saya berpeluang untuk balik bercuti ke Kelantan pada Ogos yang lepas, seperti sebelum ini Kelantan terus maju di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.Semoga Allah memberi kesihatan untuk beliau terus bersama kita.Setiap kali saya pulang ke Kelantan maka ada sahaja benda baru yang dapat saya lihat terutamanya infrastrukturnya.Projek Stesen Bas di Wakaf Siku umpamanya adalah yang terbesar pada masa ini di Bandar Kota Bharu.Mungkin ada lagi projek lain yang tidak sempat saya menjenguk.

Apa yang menarik pada pendapat saya adalah disamping pembangunan infrastruktur, kerajaan Kelantan juga menitik berat tentang pembangunan kesihatan warga bandar dan juga yang paling penting pembangunan rohani.

Saya berkesempatan untuk berjalan-jalan di Taman Perbandaran Tengku Anis yang baru disiapkan, ia merupakan satu tempat untuk beriadhah yang terbaik di KB dan peluang ini diambil oleh warga bandar termasuk pakcik-makcik untuk beriadhah.Dan yang paling mengkagumkan saya adalah pakcik-makcik ini adalah mereka yang kebanyakannya ahli masjid!!!Mereka yang berfikiran positif tentang kesihatan mereka, akan beriadhah ringan umpamanya berjalan kaki di sekitar taman selepas menunaikan solat subuh di masjid.Sungguh cantik, mereka menunaikan tuntutan rohani dan juga tuntutan jasmani.

Saya juga sempat berkunjung ke Kedai Jaafar Rawas bahagian buku-buku, sememangnya saya akan berkunjung ke situ setiap kali pulang ke KB untuk mendapatkan buku-buku menarik.Bahagian buku-buku di sini menjual buku-buku agama Islam yang terdapat dengan banyaknya.Saya gembira kerana yang datang ke kedai ini semasa saya membelek beberapa buku adalah dari kalangan muda...rupanya pemuda Kelantan minat membaca khususnya bahan bacaan agama.Saya yakin jika adat berpahala ini diteruskan maka Kelantan akan tetap terus digelar Serambi Mekah.

Nah!Saya serahkan masa depannya kepada rakan-rakan anak-anak Kelantan sendiri untuk menentukan.Kearah mana hendak dibawa kesejahteraan warga Kelantan Darul Naim.

wallahu a'lam